SHAH ALAM: Selangor membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah berlangsung di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah dan masjid, bermula esok.

JAIS menerusi perkongsian dalam Facebook rasmi memaklumkan majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari, tetapi kehadiran adalah terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

Manakala bagi yang belum lengkap vaksinasi, ujian saringan 'Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction' (RT-PCR) perlu dilakukan ke atas pengantin serta wali, dalam tempoh 72 jam dari waktu pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

JAIS mengingatkan pihak-pihak yang terlibat untuk mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri, berkaitan langkah-langkah keselamatan.

"Jika terdapat pelanggaran ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguh atau membatalkan majlis akad nikah.

"Tindakan tegas wajar diambil jika ada mana-mana individu atau pihak didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan," mengikut perkongsian JAIS tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 03-55143400 / 03-55143600 atau e-mel: [email protected].

-- BERNAMA