SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan meneruskan Program Vaksin Selangor (SELVAX) dengan memberikan 1,500 vaksin Pneumokokal percuma khusus kepada jemaah haji negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita serta Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemberian vaksin kepada jemaah haji bertujuan melindungi mereka, dan mencegah daripada mendapat jangkitan paru-paru ketika menunaikan ibadah haji.

"Sebanyak 1,500 dos vaksin akan diberikan kepada jemaah haji Selangor yang bakal hadir ke Kursus Haji Perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, esok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pra-pendaftaran telah dibuka bermula hari ini melalui aplikasi Selangkah.

"Bagi jemaah yang mengalami kesukaran mendaftar secara atas talian, kaunter pendaftaran turut akan disediakan di tapak program, esok. Jemaah haji yang tinggal di luar Shah Alam amat digalakkan untuk mendapatkan vaksin pada hari yang dinyatakan.

"Jemaah yang tinggal di Shah Alam atau kawasan berdekatan boleh mendapatkan vaksin Pneumokokal itu secara percuma di Klinik Selcare Universiti Selangor, di sini bermula 8 Mei sehingga 15 Jun 2023 antara 9 pagi hingga 5 petang," katanya.

Dr Siti Mariah berkata tutorial pra-pendaftaran boleh ditonton menerusi pautan: https://vt.tiktok.com/ZS8KXbUev/ dan sebarang maklumat lanjut boleh hubungi talian hotline Selcare 1-800-22-6600.

-- BERNAMA