SHAH ALAM: Selangor FC melancarkan jersi "away" untuk kegunaan di padang lawan bagi musim 2021 secara digital di semua platform media sosial mereka semalam.

Pelancaran jersi Red Giants ini adalah pelancaran jersi kedua musim ini setelah jersi "home" untuk kegunaan di gelanggang sendiri bagi musim ini telahpun dilancarkan pada 1 Feb lepas.

"Hadir dengan warna asas biru gelap dan disertakan dengan corak berwarna biru neon, jersi ini direka dengan menyuntik unsur progresif dan adunan jati diri kelab yang berteraskan motif setiap daerah di Selangor.

"Dari segi pemilihan warna, warna biru gelap melambangkan kesepaduan rakyat Selangor yang bersatu dalam memberi sokongan padu kepada pasukan Gergasi Merah, manakala warna biru neon pula merupakan simbolik kepada pembaharuan untuk masa depan yang ingin dicorakkan oleh pasukan ini," kata Selangor FC dalam laman sesawangnya, malam tadi.

Pihak pengurusan Selangor FC berkata ia berharap jersi "away" musim 2021 yang bertemakan kesepaduan rakyat Selangor serta unsur moden itu dapat membawa aura kejuaraan serta meniup semangat perjuangan yang tinggi kepada semua pemegang taruh Selangor FC dalam misi memburu kejayaan pada tahun ini.

Jersi away baharu ini kini boleh dibeli menerusi laman sesawang SelangorFC.com.

--BERNAMA

 
Sumber Facebook selangorfc