BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri Selangor hari ini menyumbang 20,000 dos vaksin COVID-19 kepada Pulau Pinang secara percuma, dalam usaha memberikan vaksin kepada baki penduduk di negeri itu yang masih belum menerima suntikan tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, beliau mewakili Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Selangor, kerana membantu pihaknya mempercepatkan kadar vaksinasi dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak itu.

"Meminjam semangat Hari Kebangsaan, kerajaan negeri Selangor amat berbesar hati telah menyumbangkan 20,000 dos vaksin kepada kerajaan negeri Pulau Pinang secara percuma, dan ini juga merupakan tanda solidariti antara warga Selangor dan negeri ini, dalam perang melawan COVID-19.

"Saya berharap semoga usaha ini, dapat membantu mempercepatkan imuniti kelompok, dan sehingga semalam seramai 1.14 juta penduduk Pulau Pinang, telah menerima dos pertama vaksin iaitu 64.6 peratus daripada populasi dewasa, manakala 55.7 peratus telah lengkap divaksinasi iaitu dua dos," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan vaksin tersebut, yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Arena Seberang Perai (SP Arena), di sini.

Sementara itu, Amirudin berkata sumbangan vaksin COVID-19 kepada Pulau Pinang itu bukan dibuat secara sekali beri, namun ia bergantung kepada keperluan, kestabilan dan keadaan semasa bekalan vaksin di Selangor.

"(Namun) Jika keadaan di Pulau Pinang kembali stabil, mungkin pemberian ini secara 'one-off' sahaja. Saya juga diberitahu oleh Ketua Menteri (Chow) bahawa, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menghubunginya, menjanjikan kestabilan bekalan vaksin," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bahawa, Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan 200,000 dos vaksin COVID-19 bagi tujuan memvaksinkan baki penduduk negeri itu, yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin dilaporkan berkata, sehingga kini 225,226 penduduk Pulau Pinang belum menerima suntikan dos pertama vaksin, dengan majoriti merupakan penduduk di daerah Seberang Perai Tengah.

-- BERNAMA