SHAH ALAM: Selangor akan terus memberi tumpuan dan meningkatkan penerokaan terhadap peluang industri halal kerana ia mempunyai potensi besar di negara ini dan seluruh dunia.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, industri halal itu sendiri merangkumi dua perkara iaitu membabitkan persoalan hukum dan pelaksanaan sistem serta ekosistem yang boleh dikembangkan dalam perniagaan.

"Saya percaya jika kita memberi tumpuan kepada sektor halal ini ia mampu menghasilkan satu jumlah yang sangat luar biasa, malah dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) menganggarkan 8.5 atau 8.1 peratus terhasil daripada penjanaan melalui sektor atau pun industri halal ini," katanya ketika berucap pada Program Halal Selangor 2022 di Bangunan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.

Amirudin berkata, Selangor terus berusaha untuk mengembangkan potensi industri halal melalui pelbagai penganjuran antaranya Halal Selangor dan pelbagai inisiatif lain di bawah pelaksanaan Jawatankuasa Tetap Agama, Pengguna dan Industri Halal.

Jelas beliau, skop halal perlu dilihat dengan lebih meluas kerana ia bukan sahaja merujuk kepada sumber makanan tetapi rezeki dan pendapatan yang diperoleh.

"Saya percaya hal ini sangat besar dan boleh dipertingkatkan kepada etika dan pelaksanaan dan juga pemahaman bagaimana peranan dan fungsi industri halal itu sendiri.

"Persoalan halal pada masa ini semakin terperinci sama ada dari segi cara dan penyembelihan ternakan serta kaedah pelaksanaannya," ujar beliau.

Tambahnya, sektor halal masih belum diteroka sepenuhnya meskipun negara mempunyai satu ekosistem penentuan atau pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

"Tetapi persoalannya bagaimana sistem ini diyakini dan mampu untuk menarik perhatian pengusaha dan pengeluar produk agar mendapat kelulusan pensijilan halal," katanya.

Justeru, katanya, pemahaman mengenai halal sangat penting bagi membolehkan pengusaha perniagaan mendapatkan pensijilan yang boleh mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, kerajaan Selangor tidak mahu menjadikan program pemberian bantuan baucer halal semata-mata, malah mahu melihat kepada peningkatan permintaan terhadap produk halal.

"Dengan baucer ini ia dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat untuk melihat produk halal sekali gus meningkatkan penawaran dan permintaan dalam industri ini.

"Saya percaya ini bukan hanya tentang produk makanan tetapi pada masa depan kita perlu melihat produk dan sektor lain seperti perbankan, insurans dan sebagainya yang perlu diambil perhatian kerana inilah sumber kekuatan ummah dan sistem perniagaan baik," ujar beliau.

Kerajaan Selangor menyasarkan seramai 50 penerima baucer halal di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerima manfaat terbabit.

Seramai 2,800 yang menerima manfaat itu diberikan baucer produk halal bernilai RM100 bagi mendapatkan bekalan produk halal di premis rakan strategik. -Sinar Harian

Industri Halal | Selangor teroka peluang dalam dan luar negara