Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan negeri Selangor tetap dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat walaupun pentadbiran DAP di Pulau Pinang tidak lagi mahu menggunakan nama itu.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan itu adalah berikutan kerjasama antara parti berkenaan dengan DAP serta PAS di Selangor masih berjalan seperti biasa.

Beliau turut menafikan berlakunya perpecahan antara ketiga-tiga parti itu, khususnya di negeri Selangor seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang.

"Negeri Selangor akan terus dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat kerana secara inti patinya, kita (PAS, DAP dan PKR) masih lagi bersama malah di Selangor, kita masih bekerjasama.

"Maka ingin saya katakan bahawa tidak timbul isu kerajaan Selangor 'goyang' kerana kita masih lagi bergerak sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini pada Sabtu.

Pada Khamis lepas, sebuah portal berita melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri itu tidak lagi akan dilabel sebagai kerajaan Pakatan Rakyat sebaliknya kerajaan negeri Pulau Pinang.