SUNGAI GOLOK: Lebih 500 pasangan dari Malaysia telah bernikah di selatan Thailand, sejak pintu sempadan negara itu dibuka pada awal Mei lepas hingga sehingga kini.

Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, Abd Rahman Yusuf berkata, kedatangan pasangan dari Malaysia menunjukkan trend peningkatan terutama membabitkan orang kenamaan bergelar Datuk.

Beliau yang juga Ketua Persatuan Imam, Khatib dan Bilal Sungai Golok, berkata pernikahan dikendalikan pihaknya turut membabitkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan.

Tambahnya lagi, kebanyakan lelaki yang melangsungkan pernikahan di sini adalah untuk berpoligami atau mengahwini janda.

"Ramai yang datang ke sini untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Kebanyakannya orang kenamaan yang berpangkat Datuk.

"Kesukaran untuk berkahwin lagi (di Malaysia), membuatkan mereka mencari penyelesaian mendaftarkan perkahwinan di sini. Di sini lebih mudah dan ia adalah sah.

"Selepas itu, pasangan tersebut boleh terus mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia dengan mudah," katanya.

Abd Rahman Yusuf

BACA: Rakyat Malaysia berkahwin di selatan Thailand dinasihat tidak lengahkan pendaftaran perkahwinan

Menurut Abd Rahman, perkahwinan di Masjid Kedai Baru, Narathiwat adalah yang satu-satunya proses sah bagi pengeluaran sijil nikah dari Thailand yang mempunyai pengesahan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla.

"Hanya sijil pernikahan yang dikeluarkan daripada kita sahaja (Narathiwat) yang mendapat pengiktirafan di Konsulat Malaysia," jelasnya.

Ditanya mengenai dokumen yang diperlukan, Abd Rahman berkata, bagi pasangan yang mahu mendaftar perkahwinan, mereka perlu menyediakan wang tunai RM900 bersama dokumen perjalanan seperti pasport atau pas sempadan.

Selain itu, mereka perlu menyediakan kad pengenalan, surat cerai yang asal bagi janda atau surat kematian suami yang asal bagi balu.

Media sebelum ini melaporkan, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan apabila kembali ke tanah air.

Beliau berkata, pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.