SUBANG JAYA: Selepas bekalan ayam, kini peruncit berdepan isu kekurangan bekalan telur ayam pula.

Perkara itu diakui Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin ketika tinjauan bekalan dilakukan Astro AWANI pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan sekatan eksport telur ayam bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

"Saya rasa masalah sekarang ini bukan masalah ayam sangat, tetapi masalah telur. Saya diberitahu, ia (bekalan telur ayam) tidak mencukupi dengan kapasiti pengeluaran bagi jualan dalam negara sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja telur ayam. Kenapa?

"Ramai yang mengeksport telur ayam kepada Singapura. Saya syor kepada kerajaan sekat eksport telur ayam kepada Singapura kerana kita kena jaga rakyat kita sendiri," katanya ketika di temu bual dalam program Niaga AWANI hari ini.

Menurut beliau, langkah tersebut adalah sama seperti tindakan kerajaan sebelum ini iaitu untuk menyekat eksport ayam ke Singapura.