KEPALA BATAS: Ketika isu harga sayur mahal hebat diperkatakan, kecoh pula harga masakan sayur kailan ikan masin dijual pada harga RM18 di sebuah restoran di sini.

Perkongsian itu dibuat seorang pelanggan di media sosialnya yang mendakwa harga sebungkus plastik kailan bagi seorang makan yang dibelinya terlalu mahal.

Pelanggan tersebut memuat naik gambar sebungkus sayur kailan ikan masin berserta resit pembayaran yang memaparkan harga bagi sebungkus sayur itu sebanyak RM18.

Selain harga kailan ikan masin, resit berkenaan turut memaparkan harga lauk ikan jenahak RM90, sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan nilai keseluruhan RM122.





Bagaimanapun, nama restoran itu tidak didedahkan individu berkenaan.

Perkongsian pelanggan tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial hari ini yang rata-rata mendakwa harga tersebut mahal.





Sementara itu, jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang meminta pengadu tampil membuat aduan rasmi untuk tindakan selanjutnya.

'Kita mohon pihak pengadu tampil segera membuat laporan untuk tindakan lanjut, dalam masa sama, pihak kita juga akan menjalankan siasatan untuk mendapatkan nama premis terbabit," kata jurucakap kementerian itu ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.