KOTA TINGGI: Pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru yang baharu di Kota Iskandar, Iskandar Puteri akan diteruskan semula dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, projek yang tertangguh selama hampir lima tahun itu dijangka mampu menampung keperluan institusi kehakiman yang semakin mendesak di bandar raya itu.

Beliau berkata, kos pembinaan kompleks mahkamah yang melibatkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret itu dianggarkan berjumlah RM300 juta.

Pihaknya berharap, inisiatif itu dapat direalisasikan bagi membolehkan sebuah kompleks mahkamah yang besar dan berpusat dapat dibangunkan di Johor.

“Saya mempunyai harapan besar supaya dapat dilaksanakan bagi negeri Johor sebab Johor tidak ada satu mahkamah besar seperti di negeri lain.

“Iskandar sebagai pusat kepada ibu negeri, saya harap dengan ada Mahkamah Johor Bahru ini dapat melengkapi status Iskandar sebagai pusat pentadbiran negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pengerang di Bandar Penawar di Kota Tinggi, pada Sabtu.

Katanya, perancangan dalam pembinaan mahkamah itu telah dilaksanakan sejak 2018, namun tergendala sejurus tampuk kepimpinan kerajaan berubah pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Azalina berkata, dalam masa dua minggu pula, beliau akan membuat lawatan ke tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar di Kota Tinggi.

Katanya, mahkamah itu dipindahkan dari mahkamah terdahulu yang terletak di Kampung Pengerang.