IPOH: Kerajaan diminta menyelesaikan segera isu pengambilan pekerja asing termasuk dari India bagi mengisi kekurangan yang dihadapi banyak pengusaha restoran mamak, yang kini berhadapan risiko gulung tikar.

Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kadir, berkata kerajaan juga tidak boleh mengharapkan kekosongan itu diisi oleh rakyat tempatan kerana mereka lebih berminat bekerja di restoran makanan segera atau menjadi penghantar makanan.

Beliau berkata, pihaknya telah banyak kali mengetengahkan isu berkenaan tetapi sehingga kini belum menampakkan sebarang hasil.

"Kita dapat lihat restoran, setahun dia punya turn over RM10 bilion, bukan sikit. Mereka (kerajaan) pun dapat banyak juga (hasil) daripada tax-tax yang pengusaha restoran bayar.

"Tapi saya sendiri pun tak tahulah, dah lama dah kita cakap, kita dah marah, dalam surat khabar pun kita masuk, tolonglah selesaikan.

"Sekarang ini kita dapat lihat ada orang (pengusaha) yang ada 10 restoran sebelum ini, sekarang dia kurangkan ada dua ataupun tiga saja, lima tujuh lagi dia tutup. Tak ada pekerja, dia tak boleh menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan sempena siri Jelajah Ihya Ramadan Ehsan 2022 di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan kerajaan memberi kebenaran kepada pengusaha restoran untuk mencari pekerja asing mereka sendiri.

Beliau turut menyatakan kehairanan mengapa kerajaan tidak memberi tumpuan terhadap isu itu, seperti yang diberikan kepada sektor perladangan dan perkilangan.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April 2022 yang antara lain membenarkan kedai makan beroperasi 24 jam, mengikut syarat lesen.

Bagaimanapun, difahamkan banyak restoran tidak mampu berbuat demikian kerana masalah kekurangan pekerja.