KRUBONG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel dengan merampas kira-kira 12,000 liter bahan bakar itu dalam serbuan di sebuah stor simpanan haram di Kawasan Perindustrian Krubong, petang semalam.
 
Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata rampasan  pada jam 2 petang itu melibatkan nilai RM186,000.
  
Beliau berkata, KPDNHEP turut menahan lima suspek termasuk dua warga asing berusia 20 hingga 40 tahun dan membuat rampasan sebuah lori tangki lima tan, 22 tangki tambahan dan paip penyambung.
 

Katanya, berdasarkan pemeriksaan di kawasan stor terbabit, pihaknya percaya sindiket berkenaan telah menjalankan aktiviti haram itu sejak enam bulan lalu.
 
“Hasil serbuan pada jam 5 petang, kita berjaya menangkap lima orang dań ketika ini kami dlm proses dapatkan reman untuk kita jalankan siasatan selanjutnya,” katanya. 
 
Bercakap di Krubong hari ini, Norena berkata, pihaknya telah menjalankan risikan di stor terbabit sejak dua minggu lalu.
 
Ujar beliau, pihaknya turut menyiasat kemungkinan terdapat pemilik stesen minyak bersubahat dengan sindiket terbabit.
 
Sindiket berkenaan katanya menjual diesel itu dengan harga RM4 seliter kepada pihak industri selepas memperoleh bekalan dari stesen minyak dengan harga RM2.15 seliter.
 
Sehubungan itu, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik stesen minyak yang bersekongkol dengan sindiket sedemikian.
 
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
 
Sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta bagi individu atau tiga tahun penjara, manakala denda sebanyak RM5 juta dikenakan terhadap syarikat atau organisasi yang terbabit dengan kesalahan itu.