KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia membenih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah.

Menerusi perutusan Hari Krismas 2022 di yang dikongsi di platform media sosial beliau hari ini, Perdana Menteri turut menyeru rakyat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Hari Krismas adalah hari besar buat penganut Kristian dan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum juga rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban untuk mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

“Membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah, tetapi setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap sambutan Krismas tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara Malaysia.

Sementara itu, Anwar turut berpesan agar rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. 

“Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk waspada dan berhati-hati di jalanraya. Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian,” akhiri beliau.