KUALA LUMPUR: Semua mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan diminta terlebih dahulu memeriksa invois harga ditetapkan bengkel kenderaan sebelum bersetuju mendapatkan perkhidmatan di pusat servis tersebut.

Menurut pengasas bersama bengkel kenderaan, Scrut Auto, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, mereka perlu menghubungi bengkel-bengkel yang mereka kenali sebelum mendapatkan slot pemeriksaan bagi mengelak ditipu oleh pihak bengkel yang tidak bertanggungjawab.

"Jangan terus hantar kerana kebanyakan bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kereta anda.

BACA: Pascabanjir: Baucer Diskaun Automotif boleh didapati di 1,800 pusat servis, bengkel

“Biasa terjadi hal-hal sebegitu adalah disebabkan kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah. Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar’ tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu penipuan dan tindakan 'mencekik darah' dalam kalangan pemilik bengkel tular di media sosial ekoran beberapa invois daripada beberapa bengkel mencecah puluhan ribu untuk membaiki kereta-kereta yang ditenggelami banjir.

Nik Muhammad Izwan berkata, pemilik kenderaan juga diminta segera menghantar kenderaan yang terjejas banjir ke bengkel untuk dibaiki kerana dikhuatiri kos semakin meningkat kerana lumpur yang ada di dalam kereta akan mengeras dan menyukarkan pembaikan.


Baucar Automotif | Lebih 1,800 bengkel untuk tuntut baucar diskaun

Seorang lagi pengasas Scrut Auto, Ahmad Aliff A. S. Ahmad Shariffuddin berkata, tidak mustahil ada pengusaha bengkel mengambil kesempatan ke atas musibah banjir kali ini.

"Maka pengguna harus bertindak bijak. Pilih bengkel yang dikenali, dapatkan sebut harga sebelum bersetuju dan pastikan tidak menggunakan khidmat broker," ujarnya. 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir boleh memanfaatkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

Katanya, pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan pusat servis dan pengedar sah.

Menurut beliau, setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.
-ENDS-