SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu melakukan semakan semula terhadap harga pakej langganan internet yang ditawarkan oleh semua syarikat telekomunikasi agar berbaloi dengan harga yang dibayar.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pelanggan membayar dengan harga yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Kemudahan internet sudah menjadi keperluan seisi rumah dan bukan ditakrifkan lagi sebagai kehendak tetapi keperluan.

“Negara sudah mencapai era di mana semua perkara dilakukan menerusi kemudahan internet dari segi pendidikan anak-anak kita, pengajaran guru malah bidang pekerjaan juga memerlukan internet sebagai medium utama pelaksanaannya, “ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mahathir berkata, ketika ini harga pakej internet yang ditawarkan agak mahal dan tidak berbaloi dengan servis yang diberikan.

“Kena ada penyelarasan semula harga dan pakej internet, ada syarikat telekomunikasi yang tawar 30 megabit sesaat (Mbps) dengan harga agak mahal tapi ada yang bagi lebih daripada 30 mbps harga murah, jadi apa bezanya mahal dan murah ini sedangkan perkhidmatan yang diberikan sama,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu jauh berbeza dengan negara jiran apabila mereka menawarkan internet liputan 5G yang jauh lebih rendah berbanding negara ini.

“Kita liputan 4G pun masih tersangkut-sangkut, sudahlah mahal, 5G pula masih belum menyeluruh jadi Menteri KKD, Fahmi Fadzil kena lihat semua demi kemudahan untuk rakyat,” kata Mahathir.

Mengulas lanjut mengenai Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5 sebulan yang akan berada di pasaran Februari tahun depan, beliau berkata, ia adalah perkembangan yang baik.

“Cuma kena pastikan tiada lagi cas-cas tersembunyi yang selama ini membebani pengguna kerana banyak yang tertipu dan akhirnya mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar membayar bil yang tidak sepatutnya setiap bulan,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Rabu mengumumkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5

Beliau berkata, pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.

Difahamkan pengguna bakal menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan. -Sinar Harian