KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara kini sedang diperingkat akhir semakan ke atas Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) 1996 [Akta 546] bagi lantikan ahli MPTN dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata semakan tersebut dibuat mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang di bawah Akta Penyemakan Undang-undang 1968.

Jelasnya, semakan terhadap akta berkenaan dijangka siap pada Oktober ini.

"Buat masa ini, Akta 546 menyatakan bahawa Pengerusi MPTN adalah merupakan Menteri Pendidikan.

"Justeru, proses untuk memperkasakan semula MPTN menghadapi cabaran berikutan fungsi Menteri yang bertanggungjawab adalah bukan menteri yang bertanggungjawab ke atas Pendidikan Tinggi," katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada pertanyaan Mazlee Malik (Bebas-Simpang Renggam yang membangkitkan berkenaan lantikan ahli MPTN dan LPU.

Katanya, MPTN ditubuhkan di bawah Akta 546 dan berfungsi untuk merancang, membentuk dan menentukan dasar nasional bagi pembangunan pendidikan tinggi.

Menyedari proses semakan ini mungkin mengambil masa, Noraini berkata kementerian telah mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan secara pentadbiran Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (JPPT) yang melaksanakan sebahagian daripada fungsi MPTN.

Jelasnya, komposisi keahlian JPPT adalah sama seperti mana keahlian MPTN dengan tambahan ahli iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

"Jawatankuasa ini telah bersidang buat kali pertama pada 22 Julai 2021.

"Antara perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah berkenaan Penjanaan Pendapatan Universiti Awam, Succession Plan di Universiti Awam, Pengajaran dan Pembelajaran Masa Hadapan, Kebolehpasaran Graduan, Pengoperasian IPT Dalam Tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan lain-lain lagi isu penting berkenaan pendidikan tinggi," katanya.

Dalam usaha memastikan kredibiliti LPU terpelihara dan mampu berfungsi dengan berkesan, Noraini menambah KPT telah menghasilkan University Transformation Program (UniTP) Greenbook: Enhancing University Board Governance and Effectiveness sebagai panduan.

Ianya menyentuh perkara-perkara berkenaan saiz, komposisi dan kriteria pencalonan Ahli LPU.

Pelantikan LPU juga, jelasnyaa mengambil kira kepakaran calon yang memenuhi keperluan komposisi di bawah Akta 30, di samping keunikan Universiti Awam yang mempunyai bidang tujahan tertentu.



*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.