Semangat patriotik tetap bersemarak di seluruh pelusuk negara biarpun sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 diadakan secara sederhana bagi menghormati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dan kehilangan pesawat MH370.
Penghayatan sambutan Hari Kemerdekaan dapat dilihat dan dirasakan di ibu kota dan negeri-negeri biarpun negara masih dalam suasana bersedih ekoran dua tragedi itu.
Di peringkat kebangsaan, sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka.
Selain itu sambutan Hari Kemerdekaan turut diadakan di peringkat negeri-negeri antaranya di Kuala Terengganu, bandaraya Melaka dan Kangar.
Di KEDAH, tiada konsert ambang merdeka atau pertunjukkan bunga api sempena Hari Kemerdekaan ke-57 Ahad ini, bagi menzahirkan rasa simpati dan menghormati keluarga dan mangsa tragedi MH17 dan kehilangan MH370.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, hanya sambutan secara sederhana akan diadakan selaras dengan keputusan yang dibuat kerajaan persekutuan.
"Semua acara berbentuk hiburan termasuk pertunjukan bunga api tidak akan diadakan tetapi kita akan menggantikannya dalam bentuk pengisian yang lebih sesuai dalam mengambarkan perasaan simpati dan sedih kepada keluarga mangsa nahas MH17 dan MH370," katanya.
Dimaklumkan hanya perarakan pada pagi hari Merdeka akan diadakan seperti biasa di Dataran Tunku berhadapan Pekan Rabu di sini.
Tajul Urus berharap semua rakyat Kedah, jabatan dan agensi kerajaan serta premis perniagaan menunjukkan sikap patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan.
Di GEORGE TOWN, perbarisan Hari Kemerdekaan peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini Ahad ini akan dimeriahkan dengan kehadiran kontinjen Persatuan Peranakan Cina Masyarakat Baba Nyonya Pulau Pinang.
Jurucakap Jawatankuasa Penganjur Hari Kemerdekaan negeri berkata kontinjen yang pertama kali mengambil bahagian dalam perbarisan itu akan disertai 60 anggota persatuan berkenaan.
"Mereka akan memakai pakaian tradisi peranakan Cina masyarakat Baba Nyonya seperti baju kebaya, batik sarung dan kerongsang. Ini antara tarikan pada perbarisan nanti," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, sebanyak 1,000 orang akan menyertai jalan santai merdeka dan kayuhan santai merdeka pada sambutan ambang merdeka di Pulau Pinang pada Sabtu ini di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Pantai Bersih.
Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang Syed Shaari Syed Abdullah berkata peserta akan mula berjalan dan berbasikal sejauh lima kilometer dari padang Dewan Datuk Ahmad Badawi, Butterworth ke BORR.
Di KUANTAN, acara sambutan kali ini akan turut diselitkan dengan segmen menghormati mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat penerbangan MH17.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Kemerdekaan peringkat Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sejurus selepas acara perbarisan dijalankan, upacara bertafakur diadakan bagi mengenang mangsa nahas tragedi itu.
"Sebaik sahaja kira-kira 10,000 peserta yang terdiri daripada 103 kontinjen daripada pelbagai agensi dan jabatan selesai berarak, mereka akan berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1.
"Sebaik sahaja Jalur Gemilang dan bendera negeri dinaikkan, semua peserta dan orang ramai yang hadir akan diminta bertafakur selama seminit bagi mengenang mangsa tragedi itu," katanya ketika dihubungi.
Majlis itu, katanya, dijangka akan disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan akan turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Di SEREMBAN, lebih 50 orang peserta Ladang Alam Warisan berpakaian busana Melayu tradisional akan menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 peringkat Negeri Sembilan di padang Majlis Perbandaran Seremban di sini, pada Ahad ini.
Pengasas Ladang Alam Warisan, Akmal Dahalan berkata ia adalah penyertaan pertama kali pihaknya untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini.
"Selain semua peserta kita iaitu lelaki dan wanita berpakaian busana Melayu tradisional, mereka juga dilengkapi dengan keris dan lembing serta membawa peralatan muzik tradisional.
"Saya harap ini akan dapat mengimbau kembali kegemilangan Melayu lama dan sekali gus akan dapat menaikkan semangat kemerdekaan," katanya.
Di PERAK, Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 disambut dalam keadaan sederhana kerana Perak masih dalam tempoh berkabung bagi menghormati kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Urusetia Jawatankuasa Perarakan dan Perbarisan Sambutan Kemerdekaan Negeri Perak, Mohd Noorsyafizal Che Lan @ Ahmad berkata sambutan yang berlangsung di hadapan Dewan Bandaraya Ipoh di sini dibuat secara sederhana berbanding tahun sebelumnya.
"Sebanyak 102 kontinjen termasuk kontinjen berjalan kaki daripada jabatan kerajaan, pasukan beruniform, institusi pengajian tinggi serta perarakan kenderaan terlibat pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata kontinjen-kontinjen daripada jabatan kerajaan kecuali pasukan beruniform diarah memakai songkok dengan lilitan kain putih bagi lelaki manakala perempuan memakai tudung berwarna hitam.
Di MELAKA, sambutan kemerdekaan peringkat negeri kali ini akan dimeriahkan dengan penglibatan kanak-kanak dan pelajar sekolah bagi menaikkan semangat kemerdekaan di kalangan generasi muda.
Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Melaka merangkap urusetia sambutan kemerdekaan Datuk Khamis Abu Samah berkata kira-kira 70 kanak-kanak serta pelajar sekolah menengah akan menyertai persembahan nyanyian lagu patriotik dan senamrobik di Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir bermula 7.30 pagi, Ahad ini.
Di LABUAN, kehangatan sambutan Hari Kemerdekaan tetap dirasai meskipun persiapan dilaksanakan secara sederhana.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata semua sekolah dan jabatan kerajaan serta syarikat-syarikat swasta menghias premis masing-masing bagi menyahut seruan kerajaan dan anggota Parlimen Datuk Rozman Isli supaya mengibarkan Jalur Gemilang untuk menzahirkan semangat patriotisme dan cinta terhadap tanahair ini.
Sementara itu, pemilik kedai yang menjalankan perniagaan gajet termasuk telefon pintar dan aksesori menawarkan harga potongan diskaun 57 peratus ke atas semua barangan aksesori telefon di kedainya.
Pemilik kedai yang engggan dikenali berusia 30an itu mengambil inisiatif berbeza itu sebagai simbolik sambutan iaitu 57 peratus diambil sebagai sinonim kepada 57 tahun kemerdekaan negara.
Di BESUT, sebanyak 70 pelajar termasuk pensyarah dari Institut Pendidikan Guru kampus Sultan Mizan (IPGSM), Besut akan mengadakan Program Larian Kemerdekaan ke-57 dari Besut hingga ke Kemaman dalam melahirkan rasa kecintaan mereka terhadap negara bermula Jumaat.
Setiausaha Program Zarizi Ab Rahman berkata program yang akan bermula 8 pagi itu bermula dari sempadan Kelantan/Terengganu di Bukit Yong dan akan tamat di sempadan Terengganu/Pahang pada malam ambang merdeka 31 Ogos.
Di KUALA TERENGGANU, lebih 10,000 belia dari dalam dan luar Terengganu akan dihimpunkan bagi menghangatkan sambutan Ambang Merdeka di negeri ini yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Stadium Tertutup Gong Badak.
Pengurus acara Rosli Nooral Azhar berkata pada sambutan itu, 450 peserta turut mengambil bahagian dalam pertandingan ujian pecut yang dijadual bermula esok dan kemuncaknya pada malam merdeka.
"Selain ujian pecut yang menjadi acara tumpuan golongan muda, kita turut menyediakan program sampingan seperti pameran auto, karnival jualan serta pameran dari Jabatan Kerajaan," katanya ketika dihubungi.
Di KOTA BAHARU, acara Selawat Perdana dan Pelancaran Tabung Gaza merupakan antara acara yang diselitkan dalam sambutan Ambang Kemerdekaan 2014 anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan.
Sambutan yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok itu diadakan selama empat hari bermula hari Khamis sehingga 31 Ogos bagi menyemarakkan semangat cintakan negara selain menghayati tragedi MH17 dan MH370.
Di JOHOR BAHARU, persiapan menyambut Hari Kemerdekaan dilihat agak meriah dengan sesetengah kampung menghias kawasan sekitar dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz di rumah dan kenderaan mereka serta patung berbaju askar.
Di Kampung Parit Tengah, Sri Merlong, Mukim 12, Batu Pahat, misalnya pelbagai aktiviti telahpun dirangka termasuk memilih Tokoh Kemerdekaan dalam kalangan penduduk kampung yang telah banyak berjasa sepanjang hidup mereka.
Ketua kampung itu Husaimi Hashim berkata program tahunan itu yang sudah masuk tahun keempat, adalah selaras dengan usaha mereka untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat selain menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Di KANGAR, sambutan kemerdekaan peringkat negeri Ahad ini menjanjikan kelainan kerana buat pertama kalinya lebih 200 anggota penguat kuasa 11 agensi bergabung tenaga membuat persembahan tempur tanpa senjata (TTS) secara bersama.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan dan Perarakan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke-57, Jafperi Othman berkata gabungan persembahan TTS itu dipercayai pertama kali dibuat termasuk peringkat kebangsaan kerana sebelum ini agensi-agensi terbabit membuat persembahan berasingan.
Di SHAH ALAM, lebih 5,000 belia seluruh Selangor dijangka berhimpun di Dataran Kemerdekaan di sini Ahad ini bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 yang turut dimeriahkan dengan acara Hari Belia peringkat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi berkata penyatuan sambutan Hari Kemerdekaan dengan acara hari belia bertujuan menarik lebih ramai belia menyertai majlis itu seterusnya menerapkan nilai-nilai patriotik dalam kalangan golongan muda.
Sementara itu, bagi menghormati waris mangsa nahas pesawat penerbangan MAS MH17, kerajaan negeri tidak akan mengadakan pertunjukan bunga api mahupun konsert meriah pada malam sambutan Ambang Merdeka.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Kushrin Munawi sebaliknya berkata acara untuk sambutan tersebut tahun ini dilakukan secara sederhana dan dimulakan dengan majlis tahlil kemerdekaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat malam.
"Kita masih mengadakan perbarisan kontinjen kakitangan awam dan swasta seperti biasa namun acara nyanyian kita ganti dengan lagu-lagu patriotik saja," katanya.
Bernama
Thu Aug 28 2014
Pasukan berkuda Polis Diraja Malaysia menyertai raptai Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 di Dataran Merdeka pada Khamis. - fotoBERNAMA
Agenda AWANI: Banjir 2.0 | Jaga nyawa diri dan anggota penyelamat
Siap siaga lebih awal, tambah baik pergerakan operasi dan penyelarasan keperluan aset dan logistik. Itu persediaan yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam misi bantuan banjir gelombang kedua dan seterusnya. Temu bual bersama KP JBPM Datuk Noor Hisham Mohammad 8.30 malam ini.
AWANI Ringkas: LRT Mutiara | Sidang Parlimen
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
AWANI Ringkas: Mahkamah | Dadah | Kes Hilang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Pindaan RUU 588: Satira, parodi bukan lagi jenayah selagi tidak ‘jelik melampau’ - Fahmi
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Rang Undang-undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 menegaskan kebebasan dan hak bersuara rakyat dalam batas yang khusus. Jelasnya dalam pindaan ini, kesalahan dibawah Seksyen 233 tidak lagi menjadikan satira dan parodi sebagai suatu jenayah secara automatik.
Faisal Halim antara 94 penerima Anugerah Sultan Selangor
Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim menerima pingat darjah kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Rabu.
Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey antara 94 penerima darjah dan bintang kebesaran yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey antara 94 penerima darjah dan bintang kebesaran yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Banjir surut, penduduk pulang, tetapi siap sedia kembali ke PPS
Situasi banjir di Terengganu yang mula surut ketika ini membolehkan penduduk terjejas pulang ke kediaman masing-masing, namun mereka sentiasa siap sedia untuk kembali semula ke PPS dalam tempoh Monsun Timur Laut ini.
MTDC perkukuh teknologi tempatan dengan pelancaran dana MySTI
Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) melancarkan Dana Uji Beli (DUB) dan Dana Mudah Cara (DMM) di bawah program MySTI, dalam usaha memperkukuhkan inovasi dan pengkomersialan teknologi tempatan.
Kerajaan pandang serius isu penyamaran nelayan asing
Jika terdapat penyalahgunaan lesen, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 13 Akta Perikanan 1985 termasuk penggantungan atau pembatalan lesen vesel.
Situasi di Semenanjung Gaza semakin merosot - Pegawai PBB
Penyelaras Kanan PBB berkata, sejak April lepas UNSC telah diingatkan mengenai risiko keruntuhan undang-undang dan ketenteraman.
Mahkamah benarkan kerajaan halang PetroSaudi guna dana RM1.61 bilion
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membenarkan permohonan kerajaan untuk menghalang PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya, Tarek Obaid, daripada menggunakan dana sebanyak AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan perintah larangan tersebut selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan melalui afidavit bahawa dana AS$340 juta itu merupakan subjek atau bukti dalam kesalahan pengubahan wang haram.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan perintah larangan tersebut selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan melalui afidavit bahawa dana AS$340 juta itu merupakan subjek atau bukti dalam kesalahan pengubahan wang haram.
Semangat patriotik tetap bersemarak walau Hari Merdeka disambut sederhana
Penghayatan sambutan Hari Kemerdekaan dapat dilihat dan dirasakan di ibu kota dan negeri-negeri biarpun negara masih dalam suasana bersedih ekoran tragedi MH17 dan MH370.