KUALA LUMPUR:Sembilan kes positif COVID-19 terbaharu dilaporkan di Sarawak hari ini dengan lapan kes di Kuching manakala satu kes di Miri.

Daripada jumlah itu, lima kes dikesan menerusi saringan bagi kontak Kluster Wisma Saberkas di Kuching.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu, tiga daripada lima kes dilaporkan bagi kluster ini mempunyai sejarah pergerakan di premis-premis Wisma Saberkas.

“Dua kes lagi merupakan pekerja di Wisma Saberkas dan dikesan positif menerusi saringan pengesanan kes aktif yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

“Kesemua kes yang dikesan melibatkan kluster ini telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” kata kenyataan itu.

Selain itu, tiga kes lain yang dilaporkan di Kuching melibatkan satu kes saringan pelawat yang baru pulang dari Negeri Sembilan (kes Import-B), Kluster Greenhill (satu) dan kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (satu).

Manakala satu kes di Miri merupakan kes yang dikesan menerusi saringan individu bergejala melibatkan warga Vietnam yang telah berada di Miri sejak lapan bulan lepas.

“Kes telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Miri pada 2 November 2020 kerana mengalami simptom seperti batuk dan demam sejak 30 Oktober 2020 dan disahkan positif COVID-19 pada 3 November 2020.

“Kes juga tidak mempunyai sejarah perjalanan balik ke negara asal atau melawat kawasan berisiko tinggi dalam tempoh tiga bulan lepas dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu 14 kes di HUS dilaporkan pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dan discaj meningkat kepada 777 kes atau 83.01 peratus.

Sarawak  masih mencatatkan enam kluster aktif melibatkan Kluster Bah Arnab, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill, Kluster Wisma Saberkas di Kuching dan Kluster Putra di Bintulu.