Sembunyi 101,380 batang rokok bernilai RM453,580 dalam enam van

Adie Sufian Zulkefli
Disember 9, 2020 04:03 MYT
Polis Marin Langkawi rampas rokok pelbagai jenama bernilai RM93,580 dalam enam van di Jalan Dato Kumbar, Alor Star, 8 Dis, 2020. - Astro AWANI.
ALOR SETAR: Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi merampas 101,380 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM93,580 dalam enam buah van yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Kumbar, Alor Star kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Rosman Ismail pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Risikan Marin ke atas salah sebuah kenderaan terbabit menjumpai sejumlah kartun rokok yang diletakkan di bahagian but belakang van.
Dalam serbuan terbabit turut menahan menahan dua lelaki berumur 45 dan 54 tahun yang dipercayai terlibat untuk menjaga van tersebut bagi membantu siasatan.
Susulan itu katanya, pasukannya bertindak memeriksa kesemua enam buah van sebelum menggeledah van terbabit dan menemukan sebanyak 101,380 batang rokok pelbagai jenama.
Hasil pemeriksaan terperinci yang dijalankan mendapati semua rokok terbabit disyaki tiada cukai kastam dan dipercayai ingin diseludup ke pasaran tempatan.
Hasil siasatan mendapati stor penyimpanan rokok seludup ini berpusat di Pulau Pinang dan menjadi pembekal untuk kawasan utara Semenanjung.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk enam buah van berserta nilai cukai rokok dianggarkan sebanyak RM453,580.
Van terbabit beserta barangan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Kedah untuk tujuan pendokumentasian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Kes kemudianya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
#rokok #seludup #van #rumah #polis marin #Langkawi #serbuan #rampasan #cukai #kastam #Rosman Ismail #Unit Risikan Marin