KUALA LUMPUR: SELEPAS  lebih dua tahun ditutup kerana peraturan sekatan COVID-19, sempadan Rusia kini terbuka untuk dilawati pelancong asing termasuk dari Malaysia.

Ia ditutup sejak sekian lama selepas kes COVID-19 meningkat mendadak sehingga kemuncaknya ia menjadi negara kedua di dunia catat kes tertinggi selepas Amerika Syarikat pada 2019. 

Berita gembira itu diumumkan melalui satu status yang dimuat naik di laman Facebook (FB) rasmi  Persekutuan Rusia di Malaysia, semalam.

Antara lain, status itu memaklumkan, soal kelonggaran larangan kemasukan semula pelancong Malaysia ke negara itu sudah dipersetujui dan prosedur memproses visa pelancong sudah bermula sejak bulan lepas.


Tambah status berkenaan, perkembangan terbaharu itu adalah selaras dengan pindaan yang dibuat pada 14 April 2022 terhadap Dekri Kerajaan Persekutuan Rusia Perkara 635-r bahawa ia tidak lagi mengenakan larangan masuk kepada warga antarabangsa.

"Dengan peraturan baharu itu, kedutaan meneruskan semula pemberian semua jenis visa buat rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melawat ke negara berkenaan,'' kata kenyataan itu lagi.

Laman FB itu turut menarik perhatian bahawa sehingga kini, tidak semua negara di dunia dibenarkan melawat Rusia, sebaliknya, tetap tertakluk kepada dekri di bawah Perkara 635-r.

Sementara itu, jurucakap di kedutaan Rusia di Malaysia memberitahu, disebabkan tidak lagi tertakluk kepada beberapa sekatan pergerakan berikutan COVID-19, urusan dan prosedur untuk memproses visa pelancong  boleh dibuat sama ada menerusi janji temu atau secara 'walk-in'.

Sebelum ini, selepas dibenarkan masuk ke Rusia pada Oktober lepas, proses mendapatkan visa khususnya bagi pelajar Malaysia dibuat secara janji temu di mana pelajar perlu menghubungi kedutaan atau mengirim e-mel kepada konsul untuk mendapatkan tarikh janji temu seterusnya memohon visa kemasukan ke negara itu.

Peraturan itu, bagaimanapun, tidak terpakai kepada mereka yang memohon visa pelancong memandangkan negara sudah beralih ke fasa endemik sejak 1 April lalu.

"Bagaimanapun, pelancong yang mahu memohon visa untuk masuk ke Rusia dinasihat berhubung dengan petugas di kedutaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk memudahkan urusan masing-masing," kata jurucakap itu.

Noraini Mohamad (paling kiri) teruja untuk melawat Rusia bagi menemui anaknya di Volgograd apabila negara itu mengumumkan sempadan negaranya mula dibuka untuk menerima pelancong dari Malaysia. - Gambar Astro AWANI

Sementara itu, berita berkenaan ternyata menggembirakan rakyat Malaysia yang sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Rusia.

Antaranya, seorang ibu, Noraini Mohamad, yang mengakui tidak sabar untuk ke Volgograd, Rusia bagi berjumpa anaknya, Nur Anis Emilia Mohd Shukry, pelajar Tahun Tiga jurusan Perubatan di Volgograd State Medical University (VSMU).

"Semasa anak saya mula belajar di Rusia, saya tidak berkesempatan datang bersama-sama untuk melihatnya mendaftar, jadi apabila berita ini diterima, ia masa yang dinanti-nantikan untuk saya dan keluarga untuk ke sana.

"Kami akan melawatnya hujung bulan depan, sempena acara white-coat ceremony (WCC) apabila anak saya akan beralih ke clinical years, memasuki tahun keempat,'' katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, beberapa program turut dirancang kedutaan Malaysia di Rusia pada bulan Julai ini selepas sempadan negara itu dibuka semula untuk pelancong.

Antaranya, majlis graduasi pelajar Malaysia yang turut dijangka akan dihadiri dan disertai beberapa kumpulan ibu bapa.

"Sebelum ini ramai ibu bapa yang teragak-agak untuk datang dan memeriahkan majlis graduasi pelajar itu, tetapi dengan pengumuman terbaharu itu, saya percaya ramai ibu bapa tidak sabar untuk ke Rusia dan acaranya tentu akan menjadi lebih meriah nanti.

Buku Senandika Cinta & Korona di Rusia tulisan pelajar Malaysia, jurusan bidang Perubatan,  Ahmad Ashraff Haiqal bakal dilancarkan dalam satu majlis di kedutaan Malaysia di Moscow, Julai ini. - Gambar Astro AWANI

"Begitu juga, satu majlis pelancaran buku berjudul "Senandika Cinta & Korona di Rusia" tulisan pelajar Malaysia, jurusan Perubatan di VSMU, Ahmad Ashraff Haiqal akan diadakan di premis kedutaan pada hari sama majlis graduasi itu nanti.

"Jadi, saya menjangkakan, ramai dari Malaysia akan datang menyaksikan acara itu nanti,'' kata Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia ke Rusia, Johan Ariff Abdul Razak.
 
Menurutnya, majlis graduasi pelajar dan pelancaran buku itu akan disempurnakan Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran.

Berikutan kes COVID-19 yang tinggi, Rusia menutup sempadannya kepada kemasukan asing bermula Mei 2020 dan hanya membukanya secara berperingkat pada pertengahan tahun 2021.

Walaupun kes di Rusia secara relatifnya menurun sejak akhir-akhir ini, negara itu pernah mencatatkan kes positif kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat pada April 2020.

Untuk rekod, Rusia sehingga kini mencatatkan kes jangkitan COVID-19 sebanyak 18 juta dengan melebihi 300,000 angka korban.

Pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya Ukraine pada 24 Februari lepas mengundang kemarahan negara dunia sekali gus mengakibatkan beberapa siri sekatan selain membuatkan orang ramai menjauhi negara bekas Soviet itu.