SHAH ALAM: Adik kepada mangsa kemalangan maut dirempuh treler di Kilometer 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala Shah Alam di sini sempat berkomunikasi dengan kakaknya itu sebelum nahas.

Adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 33, berkata, kali terakhir dia berbalas mesej menerusi WhatsApp dengan arwah kakaknya, Norul Naziah Buyong, 37, ialah pada jam 10.18 malam Jumaat untuk mengetahui keadaan kereta dinaiki keluarga itu yang rosak.

"Saya ada telefon dan mesej kakak. Saya tanya ada orang datang bantu atau tidak. Jika tiada, saya mahu ke lokasi.

"Tapi kakak cakap sudah ada rakan abang ipar yang datang. Kemudian, saya pesan kepadanya supaya menghubungi saya jika ada apa-apa masalah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Nurul bagaimanapun berkata, dia terkejut apabila dihubungi seorang penarik kereta sekitar jam 12 malam memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan kematian.

Katanya, ketika itu dia tidak sangka kemalangan itu menyebabkan semua ahli keluarga terkorban kecuali abang iparnya.

"Saya sempat ke lokasi kejadian sebelum ke Hospital Shah Alam dari jam 2 pagi sampai sekarang (4 petang) untuk menunggu urusan bedah siasat.

"Abang ipar juga masih terkejut dan hanya mampu menangis," katanya.

Nurul berkata, kesemua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21 di sini selepas urusan bedah siasat selesai.

Pada Sabtu, seorang ibu bersama lapan anaknya dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam pada Jumaat.

Mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

Kemalangan membabitkan dua kereta jenis Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.


Artikel asal di Sinar Harian