KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan mengesahkan kesemua enam syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian penyediaan akses perkhidmatan 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kesemua telco terbabit ialah Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications dan Telekom Malaysia (TM).

"Tidak lama lagi, lebih ramai rakyat Malaysia dah boleh guna perkhidmatan 5G.

"Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications, dan Telekom semuanya dah menandatangani perjanjian penyediaan akses 5G yang disediakan DNB. Alhamdulillah.

"Penyediaan rangkaian 5G yang meluas ini pastinya akan memacu pendigitalan negara.

"Kita sudah bersedia untuk mempercepatkan penggunaan 5G," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.


Khamis lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menjelaskan kelewatan bagi perkhidmatan capaian 5G untuk pengguna berlaku berikutan hanya empat syarikat telekomunikasi (telco) menerima dan menjadi pemegang saham DNB walaupun enam syarikat ditawarkan untuk menjadi pemegang saham DNB.

"… kerana ada perubahan tersebut, empat syarikat telco yang menerima tawaran itu telah pun balik semula mendapatkan kelulusan daripada Lembaga (Pengarah) masing-masing apabila saham ditambah, ditawarkan tambahan kepada mereka daripada baki yang tidak diambil daripada dua telco.

"Proses itu mengambil masa dan berlaku sedikit kelambatan dan hanya apabila kesemua empat syarikat menandatangani perjanjian akses barulah bekalan kepada pengguna untuk dapatkan perkhidmatan 5G diperoleh," katanya.

Pada 6 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DNB menyasarkan capaian liputan 5G di Malaysia mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun 2022 dan sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024.