Semua negara termasuk Malaysia digesa mengutamakan penerusan imunisasi rutin kanak-kanak dalam penyampaian perkhidmatan penting serta vaksinasi untuk kumpulan yang paling berisiko.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi kenyataan bersama, berkata membendung penularan COVID-19, usaha tetap perlu dilakukan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa mengikuti jadual vaksinasi mereka.

"Liputan vaksinasi global masih jauh daripada 95 peratus yang diperlukan untuk melindungi sepenuhnya komuniti terhadap wabak penyakit yang dapat dicegah melalui vaksin.

"Kira-kira 13 juta kanak-kanak tidak pernah menerima sebarang vaksin, menjadikan mereka dan komuniti sekitar berisiko dijangkiti penyakit dan kematian.

"Campak terus menjadi ancaman, terutama sekiranya kadar vaksinasi menurun. Unjuran semasa menunjukkan bahawa seramai 800,000 orang mungkin telah dijangkiti penyakit itu pada 2019," menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena Minggu Imunisasi Sedunia 2020.

Menurut kenyataan itu, pada 2020 terdapat peningkatan kebimbangan terhadap kemunculan penyakit lain, terutama jika kadar vaksinasi menurun akibat penundaan atau penangguhan aktiviti imunisasi berjadual kesan daripada COVID-19.

Kenyataan itu menyebut sekiranya perkhidmatan imunisasi perlu ditangguh, vaksinasi segera perlu dijadualkan semula secepat mungkin dengan mengutamakan mereka yang paling berisiko.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru berkata terdapat banyak kesan COVID-19, termasuk kemungkinan timbulnya penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin yang selamat dan berkesan.

Beliau berkata adalah penting untuk memastikan akses kepada perkhidmatan imunisasi semasa COVID-19 dan semua ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka terus diberikan vaksin penuh terhadap polio dan penyakit lain.

Sementara itu, Penyelaras Residen PBB bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner berkata imunisasi menyelamatkan jutaan nyawa setiap tahun dan diiktiraf sebagai satu daripada intervensi kesihatan paling berjaya dan menjimatkan kos di dunia.

"Minggu Imunisasi Sedunia 2020 tiba pada waktu sukar ketika kita sedang berusaha melawan virus COVID-19. Bagaimanapun, kita harus ingat keperluan imunisasi rutin untuk penyakit lain seperti polio dan campak," katanya.

Dalam pada itu, Wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata, impak pandemik COVID-19 dan akibatnya adalah pengajaran menyakitkan dalam menjadikan vaksin tersedia secara universal untuk semua - bagi menghentikan penyebaran dan mencegah wabak lain.

Beliau berkata setiap kanak-kanak tanpa mengira status mempunyai hak untuk diimunisasi kerana penyakit tidak mendiskriminasi.

"Kanak-kanak paling miskin dan terpinggir yang memerlukan imunisasi terus menjadi golongan yang paling sukar mendapatkan vaksin. Kebanyakan kanak-kanak yang tidak divaksin tinggal di kawasan luar bandar yang jauh atau tidak mempunyai dokumen, pelarian, migran atau keluarga yang tidak bernegara," katanya.

-- BERNAMA