Semua perbelanjaan di dalam UMNO merupakan rahsia parti yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu juga rahsia kepada parti pembangkang.

"Kalau kita beritahu semua secara terperinci, ia diibarat mendedahkan rahsia dalaman yang parti yang tidak boleh dipersoalkan.

"Bagaimana kita membelanjakan ia adalah rahsia. Semua perbelanjaan parti adalah rahsia sama seperti DAP, PKR dan PAS. Jika didedahkan akan jadi masalah kepada mereka," katanya ketika sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Ampang di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tidak pernah mempersoalkan tentang dana politik sewaktu menjadi Timbalan Presiden UMNO sebelum ini.

Jelasnya, ketika zaman pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalannya juga tidak mempersoalkan perkara itu kerana ia urusan presiden parti.

Sebelum ini, Koordinator Unit Perundangan Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata isu penggunaan wang derma dana politik perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci agar rakyat tidak terkeliru istilah akaun peribadi yang digunakan Najib.

Jelasnya,‎ walaupun akaun itu berbeza dengan akaun amanah, akaun peribadi Najib turut mempunyai beberapa pemegang amanah yang tersendiri.

Sementara itu kata Tajuddin, dana yang digunakan juga merupakan sebahagian usaha menegakkan sistem demokrasi negara.

"Kita beri kebebasan semua bersuara, kita adakan demokrasi, kita tidak sekat orang untuk bercakap. UMNO tidak pernah sekat itu," ujarnya.

Pada Ahad, Najib memaklumkan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa sahaja yang dilakukan dan tidak sama sekali akan menjual negara.

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook rasminya, Najib memberitahu bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah untuk parti UMNO dan rakyat Malaysia.