KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan semua urusan melibatkan luar negara termasuk surat-menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, pada Ahad.

Jelas Perdana Menteri lagi, setiap surat yang dihantar oleh beliau sendiri kepada para pemimpin dunia juga akan menggunakan Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris sebagai lampiran.

“Saya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan Bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut melalui penggunaan Bahasa Melayu.

“Persidangan juga guna bahasa Melayu sewaktu sidang khas ASEAN khas bersama Presiden Amerika (Joe Biden), saya juga menggunakan Bahasa Melayu.

“Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden AS walaupun saya berbahasa Melayu,” katanya dalam ucapan tersebut, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri dalam sidang media berkata, bagi negara yang menggunakan Bahasa Inggeris, kerajaan masih memberi fokus sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau sebaliknya.

“Tetapi kalau negara yang kita pergi tadi menggunakan bahasa ibunda, jadi kita mesti guna bahasa kita.

“Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang menambah kerusi Bahasa Melayu di luar negara,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri menegaskan penting untuk semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya.

Justerum ujarnya, pekeliling telah dikeluarkan kepada agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap program.

“Di dalam mesyuarat pun saya mempengerusikan mesyuarat Khazanah yang merupakan syarikat GLC, menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya,” katanya.