Semua kawasan dikategorikan sebagai zon merah COVID-19 di seluruh negara telah melalui proses nyah cemar, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, sejak 30 Mac lalu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di semua kawasan terbabit.

Katanya, ia melibatkan 79 zon termasuk 18 zon merah dan 21 zon jingga.

"Setakat hari ini (Selasa) kesemua zon merah telah dilaksanakan proses nyah cemar. Semalam sebanyak 102 operasi sanitasi dilakukan yang meliputi 48 zon di 13 negeri termasuk 32 di Johor dan 14 di Kuala Lumpur.

"Kawasan yang telah melalui proses nyah cemar membabitkan 514 bangunan kerajaan, 12 projek perumahan rakyat yang melibatkan 16,476 unit rumah,"

"Jumlah keseluruhan ialah 17 projek perumahan rakyat melibatkan 24,077 unit rumah," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.