JAWA BARAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyaksikan pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat-syarikat Malaysia bagi pelbagai projek dan kerjasama selain sesi penyerahan surat hasrat (LoI).

Ia termasuklah MoU melibatkan ASIC Offshore & Marine & Marine Sdn Bhd dan PT Dok dan Perkapalan Kodja Bahari yang dianggarkan bernilai lebih RM500 juta dalam usaha selama dua tahun.

Dua syarikat tersebut berhasrat mendapatkan bahagian pasaran bagi segmen kejuruteraan, pembinaan kapal, baik pulih kapal dan pelaburan kewangan bagi instrumen.

Selain itu, ia juga bekerjasama dalam kemudahan pengeluaran, kejuruteraan daratan dan luar pesisir, fabrikasi selain pembinaan kapal perniagaan dan pembaikan kapal dari syarikat perkapalan negara itu dalam rantau Indonesia.

Berikut antara MoU dan memorandum kerjasama (MoC) yang termeterai dalam lawatan dua hari Perdana Menteri ke Indonesia:

1. Perjanjian Komitmen Kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan PT Dirgantara Indonesia
Potensi nilai berjumlah AS$150 juta (RM660 juta) bagi projek pemodenan selama lima tahun yang akan diperincikan kemudian dalam perjanjian berasingan dan/atau menerusi tempahan melibatkan kedua-dua pihak.

2. Export-Import Bank of Malaysia Bhd dan Lembaga Pembiayaan Eksport Indonesia
Mengukuhkan kerjasama dalam perniagaan kedua-dua pihak untuk mencapai persefahaman bersama dan penyelarasan yang erat melalui pertukaran maklumat, pengalaman dan hubungan perniagaan.

3. Citaglobal Bhd dan Indonesia Battery Corporation
Untuk meneroka kemungkinan untuk menilai potensi kerjasama dalam pembangunan loji pembuatan bateri dan sistem penyimpanan tenaga bateri.

4. AWC Bhd dan PT Gema Karya Manunggal & PT Prasarana Danoes Cemerlang 
Untuk merekodkan kesediaan bekerjasama dan persefahaman bersama pihak berkenaan peluang dalam pembangunan pemasaran, pelaburan, aktiviti perniagaan dan pembangunan di Zon Ekonomi Khas Trans Kalimantan Maloy Batuta.

5. AWC Bhd dan PT Bintang Timur Investama.
Untuk merekodkan kesediaan untuk bekerjasama dan persefahaman bersama pihak berkenaan peluang pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan hijau di Malaysia.

6. MoC membabitkan FGV Holdings dan PT Perkebunan Nusantara Indonesia (PTPN)
Memberi perhatian kepada prinsip tadbir urus korporat yang baik, kesan positif kepada alam sekitar dan sosial serta peruntukan undang-undang dan peraturan yang terpakai.

7. MoC Penjana Kapital Sdn Bhd dan Indies Capital-AC Ventures
Untuk meneroka peluang pelaburan bersama dalam syarikat Malaysia-Indonesia melalui dana sedia ada dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

8. MoC SIRIM Bhd dengan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia
Untuk menggalakkan kepentingan bersama dalam menggalakkan pemupukan pembangunan sains dan teknologi dalam semangat kesaksamaan dan faedah bersama.

Dalam pada itu, majlis sama turut menyaksikan sesi pertukaran sejumlah 11 surat hasrat (LoI) membabitkan masing-masing 10 syarikat Malaysia yang berhasrat menyertai pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

1. Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd bagi pelaksanaan Pencahayaan Lampu Jalan Pintar LED.

2. Carsome merangkumi usaha pendigitalan perdagangan automotif di Nusantara.

3. Olympic Cable Company pula berhasrat mengembangkan produk kabel aluminium dan tembaga syarikatnya termasuk kabel kawalan, kabel instrumentasi, kabel pelbagai teras serta telekomunikasi.

4. Boustead Properties Bhd menawarkan usaha pembangunan hartanah dan perkongsian pengetahuan dalam mewujudkan perbandaran pintar serta lestari.

5. Berjaya Corporation Bhd akan menawarkan kepakaran dalam pengurusan sisa pepejal, bekalan air minuman, pembangunan hartanah serta perumahan dan teknologi bandar pintar.

6. Pharmaniaga Bhd pula berhasrat menawarkan produk serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan.

7. Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd pula dari segi penawaran perkhidmatan profesional.

8. Protasco Bhd (HCM Engineering) menyasarkan untuk membangunkan prasarana serta perumahan kerajaan.

9. Protasco Bhd (i2 Energy) melibatkan usaha memajukan tenaga boleh baharu dan stesen pengecasan.

10. Reneuco Berhad pula berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan tenaga dan utiliti lestari.

11. Tenaga Nasional Bhd yang berharap meneroka serta terbabit dalam pembangunan serta operasi penyelesaian tenaga, telah menyerahkan LoI kepada PT Perusahaan Listrik Negara.