LONDON: Seni telepuk yang menjadi satu bentuk seni menghias tekstil tradisional Melayu akan 'kembali hidup' dan menjadi satu seni produk warisan negara yang unik dan eksklusif, sekali gus menjulang kehalusan seni kraf Malaysia, demikian keyakinan Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin.

Katanya seni telepuk, satu teknik menghias tekstil tradisional Melayu yang sudah tidak diusahakan sejak 50 tahun lepas, sedang kembali mendapat perhatian penggiat seni kraf susulan usaha giat yang dilakukan beliau bersama badan dan agensi berkaitan.

Bersandarkan kepada keyakinan terhadap minat penggiat seni khususnya dalam kalangan generasi muda dan usaha yang dilakukannya untuk menghidupkan kembali seni telepuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau bersama Kraftangan Malaysia dan beberapa badan dan yayasan seni kraf mahu seni menghias tekstil itu menjadi antara komoditi seni yang menguntungkan negara.

"Insya-Allah sudah ada permintaan dan minat (terhadap seni telepuk)... seni ini tidak akan pupus. Usaha Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam memartabatkan pelbagai seni kraf dan produk warisan negara termasuk seni telepuk, yang pada zaman dahulu adalah hak milik istana, sangat bertepatan," katanya ketika ditemui Bernama di Pavilion Antarabangsa Malaysia yang diadakan sempena Minggu Kraf London 2023 (LCW).

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mengetuai delegasi Malaysia dalam pameran bertema 'Abstract Nature: Malaysia's Heritage Crafts' dari Sabtu hingga 14 Mei itu, menampilkan seni kraf dan produk warisan yang memaparkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat Malaysia khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Pameran edisi kedua Malaysia, selepas yang julung kali diadakan pada tahun lepas, turut mengetengahkan Songket Terengganu, seni telepuk serta ukiran kayu.

Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diterajui oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dan disokong oleh Kerajaan Persekutuan (Kementerian Luar), Kerajaan Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu.

Norhaiza, 60, yang juga Adiguru Kraf Ukiran Halus, berkata telepuk adalah seni menghias tekstil yang unik menggunakan kepingan atau perada emas (serbuk berwarna emas) dan menjadi 'hak milik istana' kerana seni tata hias emas itu dimiliki dan dipelihara oleh pihak istana dan pemakaiannya dikhaskan untuk keluarga diraja dan golongan bangsawan.

Seni telepuk melibatkan proses menekap motif menggunakan cop ukiran kayu (wooden block) yang bergam ke atas kain tenun benang halus, yang kemudiannya dilekapkan dengan kertas emas atau perada. Bersifat mewah dan selain daripada persalinan busana penuh, kain telepuk dijadikan tanjak, samping, selendang, kain ikat pinggang dan sapu tangan yang sering dipakai untuk menghadiri majlis rasmi di istana dan sebagai pakaian istiadat perkahwinan.

Norhaiza, yang merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Kelantan, menjelaskan proses menelepuk kebiasaannya dibuat di atas kain kapas atau sutera yang telah digerus, iaitu satu teknik menggilap dan melicinkan kain dengan menggunakan siput gerus (Cypraea tigris).

Norhaiza, yang sebelum ini terkenal dengan seni ukiran kayu dengan identiti tersendiri yang menghiasi istana, kediaman orang kenamaan, rumah agam, pejabat dan bangunan di Malaysia serta premis pejabat dan institusi di luar negara, menghasilkan cop ukiran kayu.

Berasal dari Besut, Terengganu, penggiat seni ini yang pernah berguru dan mendalami bidang ukiran kayu dengan enam pengukir kayu tersohor di Kelantan dan Terengganu iaitu Wan Su Wan Othman (Tokoh Seniman Negara 1997), Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok (Tokoh Kraf Negara 1999), Wan Mustaffa Wan Su (Adiguru Kraf Ukiran Kayu) dan pengukir-pengukir kayu tersohor iaitu Abd Rahman Long, Abd Latif Long dan Nik Rashiddin Nik Hussein, menggunakan ilmu dan pengetahuannya untuk menghasilkan cop ukiran kayu bagi seni telepuk.

"Pada tahun 2014, saya didatangi oleh seseorang yang ingin menempah cop ukiran kayu motif bunga tanjung dengan sembilan kelopak simbolik kepada sembilan daerah di Selangor untuk seni telepuk.

Beliau berkata berdasarkan dapatan kajian yang diperolehnya, seni telepuk adalah 'seni hak milik istana' dan kebanyakan negeri di Malaysia mempunyai seni menghias kain itu dan paling ketara dalam kalangan keluarga diraja Selangor, yang mencatatkan pada zaman pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898), menelepuk sendiri persalinan baginda.

Sempena Minggu Kraf London 2023, Norhaiza, yang juga Yang Dipertua Persatuan Penggiat-pengiat Seni Ukiran Malaysia, merupakan antara tujuh pakar kraf yang diterbangkan ke sini untuk melakukan demonstrasi seni kraf masing-masing.

Beliau juga turut menghasilkan ukiran kayu bermotif mahkota dan tulisan 'King Charles III. Coronation. 6th May 2023' yang dipamerkan di Pavilion Antarabangsa Malaysia dan akan dipersembahkan kepada Raja England itu sempena istiadat pertabalan baginda.

Mengenai pameran Malaysia di ibu negara United Kingdom ini, Norhaiza berkata usaha dan inisiatif dilakukan Tunku Azizah, selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, serta Kraftangan Malaysia dan pihak berkaitan bagi memulihara seni dan produk kraf adalah usaha murni yang bertujuan memartabatkan seni warisan negara.

Beliau bersetuju dengan titah Tunku Azizah bahawa usaha berterusan perlu dilakukan untuk memastikan seni kraf dan produk warisan negara yang mempunyai keunikan tersendiri terus hidup, diwarisi generasi akan datang, dan menjadi khazanah negara yang tidak lapuk ditelan zaman.

-- BERNAMA