KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di hari pertama dagangan Mac pada Isnin susulan sentimen bercampur-campur di pasaran, kata peniaga.

Pada 6 petang Isnin, ringgit berada di paras 4.0550/0580 berbanding dolar AS daripada 4.0450/0443 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata sentimen pasaran telah menyebabkan mata wang komoditi meningkat ketika harga minyak kembali pulih, didorong oleh penyusutan hasil Perbendaharaan AS, keyakinan terhadap vaksin serta tindakan Dewan Perwakilan negara maju itu meluluskan pakej rangsangan fiskal.

Bagaimanapun, seorang penganalisis lain berkata mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum pada 4 Mac ini, turut memberi tekanan terhadap mata wang komoditi.

Sementara itu ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0441/0470 daripada 3.0443/0490 pada Jumaat lepas serta meningkat berbanding euro kepada 4.8810/8858 daripada 4.9054/9127.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.7993/7025 daripada 3.7985/8035 sebelum ini serta rendah berbanding pound Britain kepada 5.6547/6601 daripada 5.6395/6473 sebelum ini.

-- BERNAMA