Seorang ahli tabligh dari daerah Tawau yang menyertai perjumpaan keagamaan di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 29 Februari hingga 1 Mac lalu, kini disahkan positif COVID-19.

Individu itu, yang merupakan antara 350 ahli tabligh dari Tawau, mempunyai kontak rapat dengan kes positif di Brunei yang baru-baru ini didedahkan.

Lelaki berumur 58 tahun itu telah dimasukkan ke wad Hospital Tawau pada 10 Februari lalu kerana mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas telah disahkan positif jangkitan koronavirus berkenaan.

Sehubungan itu, masyarakat diingatkan agar tidak panik dan sentiasa memberikan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Daerah Tawau.

“Memandangkan sudah ada satu kes positif, saya harap rakyat Tawau di sini bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan. Sebab kita ada cara-cara seperti kuarantin. Pejabat Kesihatan akan mengeluarkan surat kuarantin di mana (pesakit) kena rehat di rumah sahaja dan tidak keluar ke mana-mana.

“Bagi penjawat awam, jika itu berlaku, bercuti lah dua minggu untuk tinggal di rumah sahaja,” ujar Pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Tawau, Dr. G. Navindran.

Pihak Jabatan Kesihatan Tawau juga telah mengkuarantinkan semua ahli keluarga yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa di rumah, dan tidak dibenarkan sebarang lawatan ke atas mangsa buat masa ini.

“Sekarang, ahli keluarganya semua telah dikuarantin dan mereka juga tidak dibenarkan (melawatnya) walaupun di hospital, sebab di hospital pun dia sudah dikuarantin sebagai kes pertama,” ujar G. Navindran.

Ahli tabligh sekitar Tawau yang terlibat dengan perjumpaan di Kuala Lumpur digesa agar tidak mengikuti solat Jumaat pada esok bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 di daerah Tawau.

Tambah Navindran, Jabatan Agama Islam Sabah (JAIS) juga telah bersetuju tentang saranan dan sebab supaya kumpulan itu tidak perlu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Untuk rekod, sehingga jam 2 petang Khamis, seramai lebih 140 orang ahli tabligh di daerah itu telah tampil untuk menjalani saringan kesihatan, manakala 210 orang lagi akan dijejaki segera.