SEREMBAN: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer (KM) 259.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seremban, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, enam remaja lain yang menunggang motosikal berbeza cedera termasuk dua daripada mereka parah apabila berlanggar sesama sendiri  ketika cuba mengelak motosikal yang terbabas itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof, terdahulu kumpulan penunggang motosikal pelbagai jenis itu bergerak dari arah Senawang menuju ke Ampang, Selangor.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa yang maut iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC yang berada di lorong tengah lebuh raya, disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di jalan raya.

"Ia menyebabkan sekumpulan penunggang motosikal lain yang terdiri daripada enam remaja lelaki dan wanita turut terlibat dalam insiden kemalangan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang maut mengalami kecederaan parah di hampir keseluruhan bahagian badan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian.

"Dua remaja lelaki mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki sementara empat yang lain mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Polis turut menggesa mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.