RAUB: Seorang lelaki maut manakala sembilan lagi cedera, termasuk tiga kanak-kanak, dalam satu nahas jalan raya yang berlaku di Kampung Pasu, Jalan Raub-Kuala Lipis, di sini, malam tadi.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 malam, memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan empat buah kenderaan.

Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub  dibantu enam anggota dari BBP Lipis serta tiga pegawai dari Zon 3 Pahang bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki empat jentera.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan empat kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux, dua buah Proton Wira dan sebuah Proton Iswara.

"Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila Hilux merempuh tiga kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan melanggar kesemua mangsa yang berniaga di tepi jalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto JBPM Pahang

Zulfadli berkata, terdapat seorang lelaki meninggal dunia dan tersepit di dalam kereta Proton Wira manakala lima wanita, seorang lelaki, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki cedera.

Jelasnya, pihak bomba bertindak melaksanakan kerja pemotongan dengan menggunakan peralatan menyelamat khas sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

"Mangsa  disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mangsa yang cedera juga diserahkan kepada pihak KKM bagi menerima rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian dan keempat-empat kenderaan terbabit sebelum menamatkan operasi.

Foto JBPM Pahang