DUNGUN: Percutian 30 pelancong ke Pulau Redang, Terengganu, berakhir tragedi selepas dua daripada mereka maut apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik.

Kejadian berlaku di kilometer 375.4 lebuhraya pantai timur dua (lpt 2) Bukit Besi-Ajil, Dungun kira-kira jam 5.20 pagi pada Jumaat.

Nahas itu menyebabkan mangsa Tan Poh Hwa, 42, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan sebelah kanan.

Manakala seorang lagi mangsa Choo Chia Tan, 44, meninggal dunia kira-kira jam 8.53 pagi semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata siasatan awal mendapati bas persiaran yang membawa 30 penumpang itu dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan menghala ke Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu untuk melancong ke Pulau Redang.

Katanya sejurus tiba di lokasi kejadian bas yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Kejadian itu juga menyebabkan pemandu bas yang berusia 26 tahun itu cedera ringan.

Beliau berkata mangsa yang maut dibawa ke unit forensik Hospital dungun untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.