SIK: Seorang maut, dua lagi parah manakala seorang bayi berusia 8 bulan terselamat selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan di Jalan Jeniang - Sik, petang Selasa.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tiga mangsa Mohd Zamani Md Saad, 35; Siti Fatimah Md Noor, 30; dan Rokayah Che Oon, 60 dan bayi berusia 8 bulan itu, datang dari arah Belantik menuju ke pekan Sik.

Sebaik tiba di lokasi kejadian kereta yang dipandu Mohd Zamani tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata akibat kemalangan itu, keempat-empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

“Mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak memaklumkan polis sedang menyiasat punca kejadian bagaimana kenderaan itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan kerana ketika kejadian tiada kenderaan lain berada di hadapan ataupun belakang kereta mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.