JOHOR BAHRU: Seorang nelayan ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Pontian, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru, menerima laporan berhubung kejadian melibatkan dua nelayan tempatan itu yang didapati tidak pulang selepas menangkap ikan pada pukul 3.30 petang.

Beliau berkata Op Carilamat diaktifkan pada pukul 10.31 pagi tadi, dengan melibatkan tujuh aset daripada pelbagai agensi termasuk Zon Maritim Batu Pahat, sebelum menemui mayat salah seorang iaitu Mohd Khalid, 60, di kedudukan 3.2 batu nautika muara Sungai Pontian Besar pada 12.45 tengah hari tadi.

"Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu Abu Bakar Mohd, 56, masih lagi belum ditemui," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata Op Carilamat hari ini melibatkan pencarian seluas lima batu nautika daripada Pulau Pisang dan perairan Sanglang sehingga ke Tampok, Pontian yang turut dibantu komuniti nelayan setempat.

-- BERNAMA