BATU PAHAT: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut rentung apabila kenderaan dipandunya terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 10 Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian itu, dua penumpang lain yang berada di dalam kenderaan itu turut dilaporkan mengalami kecederaan

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Penguasa Bomba Ayub Majid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu sekitar jam 10.54 malam.

“Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus daripada keseluruhan kereta manakala seorang mangsa telah didapati tersepit di bahagian pemandu dan terbakar.

“Terdapat dua lagi mangsa lelaki berusia 25 dan 28 tahun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba dan kedua-dua mereka mengalami kecederaan.

“Sembilan anggota bersama tiga buah jentera dari BBP Penggaram telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Polis Ismail Dollah dalam kenyataannya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Range Rover yang dipandu mangsa dari arah Bandar Batu Pahat menghala ke Yong Peng telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar titi batu sebelum terbakar.

Tambahnya, dua penumpang yang terselamat, dipercayai rakan kepada mangsa maut, telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk menerima rawatan.

Jelas Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.