KUALA TERENGGANU: Seramai 11 pelajar sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus ditahan bagi membantu siasatan  kes pukul membabitkan seorang pelajar sekolah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata kesemua suspek yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin.


Katanya dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis, suspek dikatakan telah memukul dan menyepak mangsa yang berusia 14 tahun.


Beliau berkata kejadian menyebabkan mangsa  mengalami kecederaan ringan dan lebam pada bahagian peha kiri dan kanan.


Abdul Rahim berkata berikutan itu mangsa telah membuat laporan polis pada Ahad kira-kira jam 9.40 malam.

Pukul Pelajar | 11 remaja tingkatan dua hingga lima direman



Katanya menerusi laporan itu kesemua suspek telah ditahan ketika  hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi siasatan lanjut.


Jelasnya hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham yang menjadi antara punca tercetusnya insiden itu.


Abdul Rahim berkata kesemua suspek direman selama tiga hari  sehingga Khamis bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.