KUALA LUMPUR: Syarikat keselamatan siber global, Kaspersky, melaporkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 60 peratus dalam jumlah serangan menggunakan perbankan mudah alih yang berniat jahat dikesan dan disekat di rantau ini.

Dalam kenyataan, katanya berdasarkan laporan ancaman mudah alih bagi suku kedua 2021 untuk Asia Tenggara, perbankan mudah alih Trojan telah digunakan oleh penjenayah siber untuk mencuri dana secara terus daripada akaun bank mudah alih.

"Program berniat jahat ini biasanya kelihatan seperti aplikasi kewangan yang sah tetapi apabila mangsa memasukkan bukti keselamatan mereka untuk cuba mengakses akaun bank mereka, penyerang mendapat akses kepada maklumat peribadi itu," katanya.

Katanya sejak awal 2021, produk Kaspersky telah menggagalkan 708 insiden di enam negara di Asia Tenggara.

"Sebanyak 50 peratus daripada jumlah perbankan mudah alih telah disekat pada 2020 iaitu 1,408," katanya.

Katanya Indonesia dan Vietnam mencatat jumlah insiden paling banyak di rantau ini pada separuh pertama tahun ini.

Bagaimanapun, katanya di peringkat global, kedua-dua negara itu tidak termasuk dalam 10 negara utama yang terjejas oleh ancaman tersebut.

"Vietnam hanya pada kedudukan ke-27 dan Indonesia ke-31 sehingga Jun lepas," katanya.

Katanya lima negara dengan pengesanan paling banyak perbankan mudah alih Trojan pada suku kedua 2021 ialah Rusia, Jepun, Turki, Jerman dan Perancis.

Kaspersky berkata walaupun jumlah serangan perbankan mudah alih Trojan di Asia Tenggara kekal rendah, sebanyak 367 insiden dari April hingga Jun 2021 berbanding 230 pengesanan dalam tempoh sama pada tahun lepas, pandemik yang berterusan terus memaksa pengguna untuk mula menggunakan sistem pembayaran mudah alih.

Katanya bagi meningkatkan keselamatan kewangan dalam talian, pengguna boleh menggunakan kad kredit sementara untuk membuat pembelian dalam talian, mengkhususkan satu komputer untuk perbankan dan membeli-belah dalam talian, menggunakan alamat e-mel yang khusus, mengurus dan melindungi kata laluan dalam talian serta memasang rangkaian peribadi maya (VPN) apabila menggunakan Wi-Fi awam.

-- BERNAMA