JOHOR BAHRU: Sesi pertemuan dan penerangan bersama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini sedikit sebanyak telah 'membuka mata' serta meyakinkan segelintir guru yang sebelum ini menolak vaksin COVID-19, untuk mengambil vaksin.

Mendedahkan perkara ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata daripada 779 guru, seramai 216 guru telah bersetuju untuk menerima vaksin setelah mendengar pengalaman dan penerangan dari Tunku Ismail sendiri.

"Saya difahamkan jumlah guru yang menolak vaksin semakin berkurangan. Kita masih terus memberikan penerangan dan kefahaman kepada mereka dan saya menjunjung kasih, berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah mencemar duli, berjumpa dalam sesi temu bual dengan guru-guru tersebut.

"Dalam temu bual itu, Tunku Ismail telah berkongsi pengalaman, suasana macam mana awalnya persepsi yang baginda sendiri rasakan...ia sesuatu yang baharu. Baginda pun berasa gementar...bila benda baharu kita pun risau. Akhirnya, selepas vaksinasi, tiada masalah," kata beliau kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya, di sini hari ini.

BACA: COVID-19: Lebih 700 guru di Johor enggan terima vaksin

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kumpulan guru di negeri itu yang sebelum ini dilaporkan enggan menerima vaksin berkenaan.

Mazlan berkata bagi baki guru iaitu 563 orang yang masih belum membuat keputusan untuk menerima vaksin, majoritinya mempunyai masalah kesihatan serta wanita mengandung.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah guru yang menolak vaksin masih kecil melibatkan kurang satu peratus daripada keseluruhan guru di Johor melibatkan kira-kira 48,000 guru.

-- BERNAMA