KUALA LUMPUR: Menjelang ulang tahun pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemudi kerajaan pada 21 Ogos ini, rakyat memerhati dan melihat pencapaian yang diciptanya buat Keluarga Malaysia dalam bidang ekonomi, malah juga sebagai seorang reformis.

Penganalisis Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, apa yang dilakukan Ismail Sabri sepanjang tempoh ini ialah menguruskan kestabilan dalam kepelbagaian, di bawah kerangka keluarga besar yang bertujuan mencari keselesaan, mensejahterakan kedudukan dan memastikan keselamatan rakyat.

"Tiga gaya kepimpinan beliau disesuaikan dengan persekitaran yang mencabar, pertama pendekatan keterlibatan seperti agenda Keluarga Malaysia yang memperlihatkan tanggungjawab bersama merentasi agama, bangsa, jantina malah fahaman politik.

"Kedua, langkah mediasi atau rundingan yang penting untuk membolehkan beliau mengimbangi kedudukan dalam parti dan kerajaan. Ini dapat dilihat dengan perjanjian persefahaman (MoU) dengan pembangkang agar isu yang mungkin membawa cabaran kepada kerajaan dapat diatasi dengan mengetepikan ideologi politik.

"Ketiga, akomodasi bagi meneguhkan sistem penyampaian awam dengan membolehkan beberapa dasar polisi mendekati kumpulan sasar dalam usaha merakyatkan kepimpinan," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Jumaat.

Elemen kepimpinan bersifat akomodasi itu juga dapat dilihat dari aspek ekonomi, di mana beliau berusaha  memenuhi keperluan rakyat, terutama ketika keadaan ekonomi tidak menentu dan isu kos sara hidup yang meningkat.

"Antaranya menyediakan peruntukan dana peneroka Felda, inisiatif memudahkan pemilikan rumah, peruntukan RM100 juta Tabung Agro Makanan, usaha mengani pengangguran di bawah Jamin Kerja bernilai RM4.8 bilion. Ini semua inisiatif dan intervensi kepada persoalan bagaimana beliau menangani usaha pemulihan ekonomi.

"Ini semua satu permulaan, pengakhirannya hanya akan diketahui apabila kita lakukan penilaian berterusan," ujarnya.

Tambah Dr Siva, Ismail Sabri mentadbir urus kerajaan campuran, justeru apa yang akan dinilai rakyat ialah perwatakan, kandungan ke atas usaha yang dilakukan, komunikasi dan kompetensi.

"Hasil akhir akan memperlihatkan kesinambungan refleksi kepada perubahan persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Gaya kepimpinan beliau akan dinilai pengundi bersesuaian dengan kehendak persekitaran ke arah kesejahteraan," katanya lagi.

Keluarga Malaysia | Setahun pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri


Keluarga Malaysia | Setahun pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri