Tiga keping setem pertama yang digunakan di Tanah Melayu bertarikh 1854 pernah dilelong di London dengan harga US$1.5 juta sekeping.

Nilainya sekarang bagaimanapun tidak diketahui, tetapi setem-setem ini menjadi daya tarikan utama pengunjung ke Pameran Setem Remaja Dunia (KLwyse) 2014 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala lumpur di sini.

Ketua Hal Ehwal Pos dan Tandatangan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Mohamed Zaidi Abdul Karim berkata, setem tersebut diterbitkan oleh Syarikat Hindia Timur (EIC).

EIC mentadbir pengeluaran dan penggunaan setem pos di Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dan di seluruh wilayah pos (postal region).

Dalam temubual dengan Bernama, Mohamed Zaidi berkata, kira-kira 150,000 setem koleksi 300 peserta dari 46 buah negara dipamerkan selama enam hari bermula hari ini di KLwyse bagi merebut peluang memenangi pertandingan dunia filateli terunggul.