KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menzahirkan ucapan takziah ke atas pemergian pengasas ilustrasi digital Artortoise, Ikhsan Ise, hari ini.

Ucapan tersebut dikongsi beliau menerusi laman Instagram miliknya dengan memuat naik imej beg kertas yang memaparkan lukisan yang direka Artortoise, yang telah dihadiahkan kepadanya.

"Setiap kali terpandang beg cenderahati pejabat saya, pasti teringat @artortoise. Lukisan itu hadiah beliau kepada saya.

"Moga diganjari syurga atas segala sumbangannya kepada negara melalui mata pena," kata Zulkifli.

BACA : Pengasas Artortoise, Ikhsan Ise meninggal dunia


Beliau juga mengajak semua rakyat Malaysia yang beragama Islam bersama menyedekahkan bacaan surah al-Fatihah kepada Allahyarham.

Ikhsan Ise, atau nama sebenarnya Mohamad Ikhsan Kamarudin, 35 tahun, meninggal dunia jam 1.37 pagi ini. 

Jenazah Allahyarham dimaklumkan akan dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang.