Setiausaha politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad direman pihak polis pada Jumaat lalu atas tuduhan menerima ganjaran bagi mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan yang membabitkan kerugian RM1 juta.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Khalid Samad menerusi akaun Twitter rasminya pada Ahad.

“Bekas Setiausaha Politik saya, Hj Azli, direman Polis semalam atas aduan sebuah syarikat arkitek yang diberi DO palsu oleh seorang 'broker'.

“Broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Hj Azli yang kononnya telah mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Khalid yang mendedahkan perkara itu memaklumkan bahawa broker tersebut turut dikenakan siasatan oleh pihak polis.

“Saya tidak boleh menceritakan lebih dari itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis. Saya diberitahu 'broker' berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama ini.

“Kepercayaan "cash is king" memungkinkan broker berjaya. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya,” tambah Khalid Samad.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu.

"Selepas berbincang, lelaki itu bersetuju untuk membuat pembayaran dan dia menyerahkan wang tunai berjumlah RM 1 juta kepada suspek serta isterinya di parkir di Kuala Lumpur sebelum menerima surat yang diminta.