KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menafikan dakwaan menerima dana berjumlah RM1.162 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Dalam satu kenyataan, Shahril menegaskan beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam perkara berkenaan.

"Saya menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

"Malah, saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yang kononnya mengandungi nama 'S Pat' mahupun kandungan lejar tersebut.

"Saya selanjutnya menyatakan bahawa saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini," katanya.

BACA: Sumbangan politik: Nama Shahril Sufian, bekas pemimpin MCA dicatat dalam lejar UKSB

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini diberitahu bahawa Shahril, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Ong Ka Chuan turut diberi sumbangan politik UKSB.

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata pihaknya memberi sumbangan politik masing-masing berjumlah RM1.162 juta kepada Shahril Sufian, Chan (RM7.85 juta) dan Ong (RM922,820).

Beliau berkata kod nama yang digunakan di dalam buku lejar tersebut bagi merujuk ketiga-tiga ahli politik itu adalah 'S Pat' untuk Shahril Sufian, Chan ('Prof') dan Ong ('OKC').