KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek, sembilan tahun lepas.

Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd, Rozana Khalid, 43, yang terlibat dalam proses penutupan akaun bagi pembelian kereta berwarna putih itu berkata, Ab Shahrir membuat pembayaran itu pada 21 Dis 2013.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saksi pendakwaan ketujuh itu turut mengesahkan salinan cek dan resit bayaran yang ditunjukkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi.

Rozana juga berkata, terdapat tiga kaedah pembayaran bagi pembelian tunai iaitu menggunakan wang tunai, kad kredit dan cek namun kebarangkalian untuk seseorang berbuat demikian hanya satu atau dua peratus.

"Kebiasaannya pembeli akan membuat pinjaman bank. Sebagai contoh, daripada 50 unit yang terjual mungkin dua atau tiga orang akan membeli secara tunai dan pembayaran itu akan dibuat sama ada dalam bentuk wang tunai atau kad kredit," katanya.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan Eksekutif Pentadbiran Sutera Auto Sdn Bhd, Nurrul Hafizah Md Roslan, 40, berhubung invois yang disediakan selepas urusan pembayaran dan pendaftaran kenderaan itu selesai.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. - BERNAMA