Datuk Dr Shahruddin Md Salleh ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI pada Jumaat malam.

“Apabila dia (Shahruddin) jadi setiausaha parti pembangkang, buat apa hendak bagi dia berkhidmat dengan kerajaan lagi,” ujarnya ringkas.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Menteri Pendidikan Malaysia di bawah Artikel 135(1) Tataurusan Syarikat Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Shahruddin ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM berkuat kuasa serta-merta.

Shahruddin telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM pada 1 Februari 2010 sehingga 31 Januari 2012.

Kemudian beliau sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah di institut berkenaan apabila kontrak beliau disambung pada 1 Februari 2012 sehingga 31 Januari 2014.

Walau bagaimanapun, pada 19 April 2013, beliau telah melepaskan jawatan berkenaan kerana terlibat dengan politik.

Namun, pada 1 Julai 2013, Shahruddin sekali lagi dilantik oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu bagi memegang jawatan yang sama di ITBM sehingga 30 Jun 2015.

Setelah tamat, kontrak Shahruddin disambung sebagai Pengerusi ITBM berkuat kuasa mulai 1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2017.