KUALA LUMPUR: Perbandingan Pulau Langkawi dengan Pulau Batu Puteh adalah sesuatu yang tidak wajar, kerana ia berbeza dari sudut sejarah dan aspek perundangan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Langkawi adalah pulau yang diiktiraf sebagai pulau milik Malaysia, sedangkan Pulau Batu Puteh ialah beting atau sandbank yang dituntut oleh dua negara.

Katanya lagi, Langkawi tidak pernah dituntut oleh Siam dan pegawai Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah menyatakan kepada Siam bahawa Kedah tidak anggap Langkawi bukan milik Kedah.

“Sebaliknya Kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai milik Kerajaan Johor. Kemudian Malaysia mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. Maka ini dipertikai oleh Singapura. Dan berlakulah kontroversi.

“Percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya. Singapura masih mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi dalam catatan terbaharu di blog Chedet pada Rabu.

Kenyataan itu dipercayai, merujuk kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 14 Oktober lepas, yang mahukan penjelasan di sebalik tindakan Kerajaan Persekutuan pada 2018 mengenai isu Batu Puteh.

Kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir ketika itu, membuat keputusan tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?” soal Sultan Johor lagi.

BACA: Pulau Batu Puteh: 'Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand...' - Sultan Johor 

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kedua-dua negara telah pun buat persetujuan untuk menerima apa saja keputusan ICJ, yang kemudiannya tidak memihak kepada Malaysia.

Katanya lagi, negara yang bermaruah mesti menghormati janji, manakala negara yang tidak bermaruah sahaja yang akan memungkiri janji.

Dr Mahathir berkata, Malaysia mempunyai dasar liberal dalam pemilikan tanah, yang membolehkan bukan warga negara juga mempunyai hak untuk memiliki tanah di negara ini.

“Ini mendedahkan negara pada kehilangan tanah yang sudah dimiliki oleh orang asing. Jika sebahagian yang besar tanah dimiliki oleh orang asing maka negara sudah tidak lagi secara fizikal, tanah milik warganegara.

“Inilah yang berlaku di Singapura. Walaupun Singapura asalnya milik negeri Melayu, hari ini ia sudah jadi negara asing.

“Hari ini walaupun negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu, tetapi orang Melayu sendiri sudah kehilangan tanah mereka. Nasib baik yang memiliki tanah yang bernilai tinggi dan besar dimiliki oleh warga Malaysia,” katanya lagi.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, satu lagi cara untuk ‘kehilangan negara’, ialah dengan cara menjual tanah yang digali dalam negara atau laut milik negara kepada negara lain.

Secara langsung, beliau berkata, ia juga seperti menjual sebahagian daripada negara kepada negara lain.

“Jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, dia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain. Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka.

“Atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing,” katanya lagi.

Dalam kes Singapura, Dr Mahathir berkata, tanah dan air yang dijual ke negara jiran itu, untuk membesar pulau itu, akhirnya menjadi kawasan milik penduduk Singapura, dibangun di bawah kuasa Kerajaan Singapura.

“Itulah sebabnya Kerajaan Malaysia melarang penjualan tanah kita dan mempertikai jualan air kepada negara asing.

“Malangnya beberapa pentadbiran Kerajaan Malaysia rela untuk dibayar tiga sen untuk 1,000 gelen air mentah kepada negara asing kerana malas atau takut menuntut hak,” katanya lagi.