KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan, namun, gabungan perisikan secara berkesan adalah kunci kepada penyiasatan yang berjaya.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beberapa kes berprofil tinggi yang masih dibicarakan di mahkamah serta kes yang baru diputuskan Mahkamah Persekutuan merupakan hasil perjuangan yang panjang daripada badan pencegah rasuah itu.

"Kerja keras SPRM untuk menyiasat kes-kes rumit, mendapatkan semula aset negara serta membantu dalam pendakwaan telah membuahkan hasil malah tanggungjawab itu masih diteruskan.

“Sebagai orang yang menjaga integriti, tadbir urus yang baik dan antirasuah, kita perlu berdiri teguh di samping keazaman yang sempurna dan ketabahan dalam menegakkan amanah dan tanggungjawab, tidak kira apa pun cabaran yang kita hadapi, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucaptama Persidangan Antarabangsa bertajuk Kriminologi Kewangan: "Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Menerusi Ketelusan Kewangan yang berlangsung di Universiti Cambridge, United Kingdom, pada 25 hingga 27 Ogos lalu.

Persidangan itu dianjurkan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), United International University, TELKOM University dan Cambridge University sebagai tuan rumah.

Dalam masa sama, Azam turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai-pegawainya atas integriti dan ketabahan mereka menghadapi tekanan yang luar biasa bersama.

Untuk rekod, baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.