PUTRAJAYA: Siasatan terhadap senarai individu yang dinamakan dalam buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), bahan bukti dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah memanggil hampir semua individu dinamakan dalam lejar terbabit, setakat ini.

"Saya menjangkakan dalam tempoh terdekat, kertas siasatan akan disiapkan oleh pegawai saya.

"Saya tidak tahu bila (kertas siasatan akan dilengkapkan) tetapi dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya lagi, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan ditetapkan keputusan berhubungnya.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan nama beberapa individu tersenarai dalam buku lejar tersebut yang didakwa membabitkan sumbangan politik.

Antara nama yang tersenarai termasuklah  Ahmad Zahid, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman dan Shahril Sufian Hamdan.

Turut tersenarai antaranya Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.