KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaiatan penyelewengan dana 1Malaysia Developme,nt Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd masih berjalan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl Sani memaklumkan, pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berusaha membawa pulang Jho Low.

Beliau berkata, kertas siasatan terhadap Jho Low dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

"Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

"Pertuduhan ke atasnya (Jho Low) sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018," katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.

Acryl berkata pada masa ini beliau masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung usaha membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan.

"Apa yang saya tahu usaha membawa balik Jho Low sedang giat dilakukan oleh SPRM, namun saya masih belum mempunyai butiran lanjut kerana belum berkesempatan bertemu Tan Sri Azam Baki," katanya.

Beliau berkata tiada sebab untuk siasatan kes berkenaan ditutup sehingga Jho Low dihadapkan ke mahkamah.